Sektor perladangan sawit rugi RM28 bilion tanpa pekerja asing

Iklan
Sektor perladangan sawit dianggarkan mencatat kerugian sebanyak RM28 bilion jika pekerja asing tidak dibawa masuk dengan segera. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Sektor perladangan sawit dianggarkan mencatat kerugian sebanyak RM28 bilion pada 2022 jika pekerja asing tidak dibawa masuk ke Malaysia dengan kadar segera.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, kekurangan penuai yang terdiri daripada pekerja asing telah menyebabkan kerugian berjumlah RM21 bilion pada tahun lepas.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu beliau mencadangkan pemegang taruh mengambil langkah intervensi jangka pendek seperti mempercepatkan ketibaan pekerja asing untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit.

Katanya, sebanyak 32,000 pekerja asing (pekerja lapangan) dari Indonesia perlu dibawa masuk dengan segera kerana penutupan sempadan ketika pandemik Covid-19 menyebabkan kekurangan pekerja bagi melakukan tugas-tugas penuaian buah kelapa sawit.

Iklan

"Bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing, proses tersebut perlu tuntas dan efisien kerana pada masa kini, penyelarasan dalam proses itu perlu beralih kepada platform digitalisasi sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan manusia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagi intervensi jangka panjang pula, kerajaan dan pemilik ladang diseru berganding bahu dalam meneruskan pembiayaan program Reskilling & Upskilling terutamanya bagi pekerja tempatan.

Iklan

”Pembangunan dan pemerkasaan modal insan pekerja tempatan pula perlu diberi penekanan penuh kerana mereka (pekerja) yang memegang jawatan di peringkat atasan seperti pekerja-pekerja pejabat dan pengurus ladang yang akan memastikan pengurusan keseluruhan ladang terjaga sepenuhnya.

"Pemberian subsidi untuk program pendidikan yang betul mengenai ladang kelapa sawit juga perlu diberi keutamaan,” katanya.

Abdul Latif turut berkata, program yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu dibentuk dan diperkasakan ke arah pemikiran, persepsi dan pemahaman yang baik terhadap sektor perladangan kelapa sawit.

Program kesedaran dan kesediaan juga perlu difokuskan ke arah inisiatif automasi dan mekanisasi bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dalam sektor ini.

Prestasi sektor perladangan kelapa sawit merosot apabila kuantiti eksport berkurang 4.4 peratus pada suku keempat 2021 disebabkan isu kekurangan pekerja asing dan tempatan. - Bernama