KUALA SELANGOR - Polis masih mengesan pemandu Proton Persona yang menukar lorong dan menghimpit seorang penunggang motosikal hingga terjatuh di Kilometer 47.1 Jalan Klang-Teluk Intan di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian jam 9.30 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 21 tahun yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Ujong Permatang menuju ke tempat kerja di Jalan Bendahara.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Persona dari lorong kanan menukar ke lorong kiri secara mengejut dan menghimpit motosikal mangsa.
"Mangsa yang dihimpit kemudian menekan brek, tetapi motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan mangsa terseliuh tangan kiri manakala motosikalnya mengalami kerosakan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Kaedah 6(2) LN 166/59.
Pada Isnin, tular di Facebook video berdurasi satu minit memaparkan kereta Proton Persona yang secara tiba-tiba menukar lorong dan menghimpit sebuah motosikal sehingga penunggangnya terjatuh.
Kejadian itu dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang secara kebetulan mengikut dari belakang.