SEREMBAN - Negeri Sembilan mencatatkan bilangan paling ramai bekas tentera terlantar.
Biro Kebajikan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Adnan Ahmad berkata, daripada 13,000 bekas tentera berdaftar dengan PVATM di Negeri Sembilan, seramai 675 pesakit terlantar direkodkan sehingga kini.
"Mereka ini terlantar kerana faktor usia yang kebanyakan berumur 70 tahun ke atas. Rekod kita juga mendapati seramai 30 bekas tentera di bawah kategori veteran kurang upaya yang kini orang kurang upaya (OKU) kesan daripada peperangan ketika berkhidmat dahulu. Jadi, apabila sampai usia, mereka tidak lagi mampu uruskan diri," katanya ketika ditemui turun padang menyampaikan sumbangan kepada Zaleha Awang, 64, isteri kepada ahli PVATM Negeri Sembilan, Abdul Rahim Omar, 60, yang sakit di Taman Sendayan di sini, hari ini.
Menurutnya, untuk kes berkenaan, persatuan akan memberi bantuan 'one off' sebanyak RM500 dan pada masa sama membantu mendapatkan kemudahan perubatan lain menerusi khidmat Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Selain itu, katanya, bukan sahaja bekas tentera, tetapi ahli keluarga juga perlu mengetahui maklumat mengenai kemudahan dan kebajikan yang layak dinikmati.
Dalam pada itu, Pengarah JHEV, Norasbi Said yang turut serta dalam lawatan berkata, masih ramai yang tidak mengetahui bantuan skim kebajikan dan pendidikan disediakan jabatan itu sejak diwujudkan 18 tahun lalu.
"Kebanyakan tak berdaftar dengan persatuan. Banyak skim yang kita sediakan tapi ramai tak tahu sedangkan itu hak mereka," katanya.
Sementara itu Abdul Rahim berkata, isterinya mula sakit sejak Februari lalu dan disyaki menghidap strok.
"Isteri saya tiba-tiba terjatuh bila dia nak bangun dari duduk. Bila bawa ke hospital, doktor kata dia mungkin hidapi strok sedangkan selama ni dia tak pernah sakit.
"Sekarang dia masih lemah dan terpaksa dibantu untuk uruskan diri. Apa-apa pun terima kasih kepada persatuan sebab sudi membantu," katanya.