ALOR SETAR - Seorang pensyarah kanan universiti awam berpangkat profesor madya dan kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 39 pertuduhan penyalahgunaan dana dan tuntutan palsu bernilai RM1.97 juta.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh disyaki terlibat dalam penyelewengan Dana Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Universiti Utara Malaysia antara 2013 hingga 2015.
Tertuduh, Hartini Ahmad, 49, membuat pengakuan itu selepas semua 33 pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Jumlah 33 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan tuntutan palsu itu adalah RM1.48 juta.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan penyalahgunaan dana dan tuntutan palsu mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Manakala, tertuduh kedua, Nazrul Idham Abu Nasir, 42, merupakan kontraktor dan kenalan kepada tertuduh pertama membuat pengakuan itu selepas enam pertuduhan terhadapnya dibacakan berasingan.
Kontraktor terbabit didakwa melakukan kesalahan membuat tuntutan palsu di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 melibatkan RM492,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam masing-masing, Evawani Farisyta Mohammad dan Saiful Ambar Abdullah Ambar.
Juraidah menetapkan ikat jamin keseluruhan sebanyak RM65,000 dengan seorang penjamin kepada Hartini, manakala jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap Nazrul.
Beliau kemudiannya turut menetapkan tarikh 29 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.