376 kertas siasatan, 415 tangkapan dibuat dalam tempoh 4 bulan: SPRM

Iklan
Azam Baki

PUTRAJAYA - Sebanyak 376 kertas siasatan membabitkan 415 tangkapan berkaitan rasuah, penggubahan wang haram dan kanun keseksaan direkodkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, suku pertama tahun ini turut menyaksikan sebanyak RM12.58 juta aset dirampas dan RM59 juta dilucut hak.

Iklan
Iklan

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 829 kertas siasatan dibuka dan 851 tangkapan dibuat manakala RM162 juta nilai aset dirampas serta RM5.13 bilion dilucut hak," katanya dalam ucaptama Forum Anti Rasuah Malaysia kali ketiga di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi Institut Strategi Antarabangsa, Cheah Chyuan Yong.

Iklan

Menurutnya, SPRM terus akan mempergiatkan fungsi terasnya dalam membanteras aktiviti rasuah dan penyelewengan.

"SPRM juga perlu mencari pelbagai cara untuk memerangi rasuah yang merumitkan dalam tipologi dan modus operandi," katanya.

Iklan

Beliau berkata, sebagai contoh SPRM telah menumpaskan sindiket yang menggodam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengeluarkan pas pelawat pastu dan pas pekerjaan sementara.

"Dalam operasi tersebut, seramai 12 orang termasuk pegawai Imigresen telah ditahan dalam operasi secara besar-besaran di 22 lokasi di Kuala Lumpur.

"Sepanjang operasi, sejumlah 147 akaun bank dengan baki berjumlah RM10 juta dibekukan, hartanah bernilai RM11.87 juta dan 66 kenderaan bernilai RM13 juta dirampas," katanya.

Azam berkata, kegiatan rasuah ini telah berlarutan sejak lima tahun lalu dan telah menyebabkan kerajaan kehilangan kutipan hasil maksimum.