MELAKA - Biarpun terkesan dengan kenaikan harga barang serta kesukaran mendapatkan bekalan tepung gandum, seorang peniaga roti canai masih mengekalkan harga 50 sen sekeping bagi roti canai kosong sejak 22 tahun lalu.
Mustafa Abd Latif,58, berkata, mula berniaga roti canai pada tahun 2001 bersama isterinya, Norlela Salleh, 51, dia juga masih mengekalkan harga RM1 bagi roti canai telur dan roti planta.
Menurutnya, selagi masih ada kudrat, dia akan terus menjual roti canai dengan harga sedemikian kerana niatnya sejak dulu lagi mahu berniaga sambil bersedekah.
Katanya, setiap hari dia akan menebar lebih 200 keping roti canai dan jumlah itu akan berganda hingga mencecah 500 keping pada cuti hujung minggu dan cuti umum.
"Pada hari biasa saya menyediakan kira-kira 10 kilogram (kg) tepung gadung dengan mengambil masa dua jam untuk menyiapkan doh roti canai.
"Selalunya petang saya akan memulakan aktiviti ini dan jumlah tepung bertambah ke 20kg pada hari minggu dan cuti umum," katanya ketika ditemui di warungnya di Bukit Pulau, Bukit Katil di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, dia yang sebelum ini menceburi bidang kraftangan mengambil keputusan untuk mengusahakan roti canai dengan dibantu tiga daripada empat anaknya.
Ujarnya, mula berniaga roti canai di Banda Hilir sebelum berpindah ke Bukit Katil dengan menyewa tanah di situ pada kadar RM480 sebulan sejak 11 tahun lalu.
Katanya, cabaran pada masa ini kesukaran untuk mendapatkan bekalan bahan mentah terutama tepung gandum.
"Sekarang susah nak cari dua jenama tepung gandum yang biasa saya guna.
"Bukan tidak mahu menggunakan jenama lain, tapi untuk jaga kualiti dan memastikan roti canai lembut biarpun telah sejuk, saya lebih gemar guna tepung ini" katanya.