PUTRAJAYA - Usaha untuk membawa pulangan setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng masih belum selesai.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pada tahun 2020, sejumlah RM14 bilion berjaya dituntut melalui kompaun dan penyelesaian daripada pelbagai pihak manakala RM5.11 bilion lagi diperoleh pada tahun lalu.
"Kerja (tuntutan) belum selesai. Rakyat mesti menuntut setiap sen wang yang dilaburkan oleh 1MDB," katanya dalam ucaptama Forum Anti Rasuah Malaysia di sini pada Selasa.
Menurutnya, sejak tahun 2018, kerajaan mempergiat pelbagai usaha untuk mengembalikan aset 1MDB termasuklah melakukan pendakwaan terhadap beberapa individu.
"SPRM juga bekerjasama dengan beberapa badan antarabangsa dan agensi penguatkuasaan asing bagi mendapatkan semua dana yang diseleweng," katanya.
Beliau berkata, pengalaman Malaysia mengendalikan dan memulihkan sejumlah besar aset seperti ini secara berterusan mendapat pujian daripada badan-badan antarabangsa.
"SPRM berkongsi pengalaman yang tidak ternilai ini dalam pelbagai platform peringkat antarabangsa khususnya dalam menguruskan siasatan yang merentasi banyak benua dan pelbagai jenis aset," katanya.
Pada 19 November lalu, media melaporkan SPRM dengan kerjasama agensi penguat kuasa asing berjaya memulangkan lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan.
Usaha pemulihan aset dana 1MDB itu giat diteruskan di dalam dan luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.