PASIR MAS - Dua lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di Kampung Kubang Bemban di sini pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu mengorbankan Mohamad Aiman Rani Abdullah, 17, dan Muhammad Hanieff Nazri, 23.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 1.20 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Mohamad Aiman menunggang motosikal jenis Honda C70 dari arah Pasir Mas menghala ke Kubang Bemban, manakala Muhammad Hanieff menunggang motosikal jenis Yamaha dari arah bertentangan.
"Sebaik tiba di tempat kejadian berdekatan Lorong Dusun Nyor, Kampung Kubang Bemban, kedua-dua motosikal dipercayai bertembung di tengah-tengah jalan berkenaan.
"Akibat daripada perlanggaran itu, kedua-dua mangsa terjatuh ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Selasa.
Ujarnya, kemalangan dipercayai berpunca kecuaian kedua-dua penunggang yang menunggang motosikal dalam keadaan laju di lokasi kemalangan yang gelap dan jalan berselekoh.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati kesan perlanggaran, serpihan komponen dan motosikal didapati berada di tengah-tengah jalan.
"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.