KUALA LUMPUR - Seorang bakal pengantin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah, enam tahun lalu.
Lee Jan Wee, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa atas kesalahan itu di Jalan Wangsa Delima 5, di sini pada 23 Ogos 2016.
Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM250,000 hingga RM1 juta, atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin menawarkan tertuduh diikat ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Izzat Amir merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menanggung seorang anaknya yang berusia tiga tahun.
Menurutnya, dia yang juga seorang duda, kini tinggal bersama ibu bapa akan melangsungkan perkahwinan bulan hadapan.
"Anak guam saya tidak mempunyai rekod jenayah lampau malah tidak berisiko untuk melarikan diri.
"Dulu dia bekerja di bengkel kereta dan menjual nasi ayam," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sabariah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pada Isnin, polis menahan seorang lelaki yang didakwa memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman wang tanpa lesen sehingga mangsa menyerahkan dua kenderaan sebagai cagaran namun ia telah dijual tanpa pengetahuan mangsa.