Aktiviti harian 80 keluarga terganggu akibat gangguan air

Iklan
Penduduk Kampung Sungai Nonang di Kuala Kedah mahu Sada mengatasi dengan segera masalah ganguan air di kampung mereka yang semakin teruk sejak dua minggu lalu.

KUALA KEDAH - Aktiviti harian kira-kira 80 keluarga di Kampung Sungai Nonang, dekat sini terjejas apabila mengalami masalah gangguan air yang teruk sejak dua minggu lalu.

Masalah tersebut menyaksikan majoriti suri rumah terpaksa 'gantung periuk' kerana tidak dapat memasak dan baju pula perlu dicuci di kedai dobi layan diri.

Iklan
Iklan

Menurut Norehan Zainol, 36, yang tinggal bersama 12 ahli keluarganya, setiap hari mereka perlu ke rumah keluarga mentuanya di Kampung Permatang Ibus sejauh lima kilometer (km) untuk mengambil air.

"Sebelum ini memang selalu berlaku air tiada dan pada sebelah malam baru ada tapi keluar sikit-sikit saja. Tapi sejak dua minggu ini air langsung tiada.

Iklan

"Memang langsung tidak dapat masak dan semua makanan perlu dibeli. Kalau masakpun air tak cukup untuk basuh periuk dan sebagainya. Air yang diambil di rumah mentua perlu dijimatkan. Anak pagi-pagipun mandi macam filem P Ramlee buat syarat sebelum pergi sekolah," katanya ditemui di Kampung Sungai Nonang, dekat sini pada Selasa.

Bagi Muhammad Hafizudin Yahya, 25 pula, musim panas yang sudah bermula di negara ini menambahkan lagi rasa tidak selesa penduduk yang terpaksa menyimpan dan mencatu bekalan air yang ada.

Iklan

Menurutnya, lori tangki disediakan Syarikat Air Darul Aman (Sada) membawa bekalan air juga didakwa dihantar tidak berjadual sekali gus menyaksikan ada penduduk yang terlepas mendapatkan bekalan air tersebut.

"Waktu lori tangki air itu datang kadang-kadang tidak menentu. Pernah lori datang pada jam 12 tengah malam dan akhirnya ramai yang terlepas mendapatkan bekalan air.

"Sebagai alternatif ramai terpaksa beli air mineral dan sebahagian pula pergi ke rumah keluarga yang berada di luar kawasan ini. Saya pernah pergi ke rumah datuk di Kampung Sungai Dedap, Yan iaitu 15 km dari sini untuk mandi pada hari raya Aidilfitri lalu," ujarnya yang tinggal bersama dua ahli keluarganya.

Dr Ismail (dua kanan) turun melihat gangguan bekalan air yang dihadapi oleh penduduk Kampung Sungai Nonang di Kuala Kedah.

Bagi Nashirah othman, 38, yang mempunyai tiga anak masih bersekolah berkata, gangguan air dilihat semakin ketara sejak kebelakangan ini dan mengharapkan langkah terbaik diambil Sada bagi mengatasi masalah tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, beliau akan membawa perkara tersebut ke pihak Sada untuk diatasi segera.

Menurutnya, kampung tersebut terletak di bahagian paling hujung dalam sistem bekalan air bersih dari Loji Rawatan Air (LRA)Pelubang dan loji ini berada di peringkat awal proses naik taraf yang akan menjamin bekalan air secara cukup dan berterusan apabila siap nanti.

"Oleh sebab itu, penduduk di kampung ini faham bekalan air terawat ke kampung mereka akan menerima ganguan.

"Episod ganguan kali ini bermula di awal bulan Ramadan lagi dan semakin teruk selepas hari raya Aidilfitri. Bekalan terhenti beberapa hari apabila ban MADA pecah di Jitra, tapi ia telah di baiki sepenuhnya dan paras air di loji LRA Bukit Pinang telah pulih," ujarnya.

Bagaimanapun, bekalan air terawat di kampung ini masih teruk dan terdapat rumah yang telah tujuh hari tidak menerima bekalan air bersih.

Menurutnya, penduduk kampung kesal dengan layanan dan perkhidmatan daripada Sada yang didakwa lemah selain tidak berjadual.

"Sehingga pagi Isnin, ada rumah yang sudah tiga hari tidak menerima bekalan air bersih. Bekalan yang sampai pun tidak berjadual, ada rumah yang dapat dan ada sebaliknya," ujarnya.