KDN runding ambil pekerja asing selain Nepal jadi pengawal keselamatan

Iklan
Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memulakan rundingan dengan negara-negara sumber pekerja asing bagi menggaji tenaga kerja dalam sektor keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan dasar berhubung cadangan membuka peluang selain daripada warga Nepal itu sudah dipersetujui kerajaan.

Iklan
Iklan

"Pihak yang terbabit sudah boleh mengemukakan permohonan bagaimanapun kemasukan bergantung kepada keputusan dari negara sumber.

"Kita sudah membenarkan kemasukan dari negara lain, cuma nak bawa masuk itu bergantung kepada pengalaman kerja sama ada pernah bekerja di sektor keselamatan di negara mereka," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini pada Selasa.

Iklan

Pada 25 November tahun lalu, media melaporkan KDN mencadangkan untuk menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.

Hamzah dilaporkan berkata, perkara itu akan dikaji secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat dan kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh untuk memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.

Iklan

Keputusan muktamad akan diumumkan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan termasuk pemain industri serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan dan lain-lain lagi.