JOHOR BAHRU - Op Selamat 18 yang dijalankan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini sejak 29 April hingga 8 Mei lalu mencatatkan penurunan signifikan kadar kemalangan jalan raya berbanding Op Selamat 15 pada 2019.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 2,302 kes atau 7.5 peratus penurunan dilaporkan dalam tempoh tersebut berbanding 2,488 kes dalam operasi yang sama pada 2019.
"Jumlah ini menunjukkan penurunan 186 kes bagi perbandingan untuk Op Selamat pada tahun ini dan 2019. Kita bandingkan dengan Op Selamat pada 2019 kerana pada 2020 dan 2021 kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sementara bagi jumlah kemalangan maut bagi tempoh tersebut hanya mencatatkan 20 kes dengan 20 kematian berbanding 22 kes dengan 24 kematian bagi tempoh sama pada 2019," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.
Mengulas lanjut, Kamarul berkata, jumlah kemalangan melibatkan kecederaan parah pula meningkat kepada 22 kes pada tahun ini berbanding lapan kes bagi tempoh yang sama dua tahun sebelum itu.
Menurutnya, jumlah kemalangan melibatkan kecederaan ringan pula turut meningkat dengan mencatatkan 27 kes pada tahun ini berbanding hanya sembilan kes pada 2019.
"Mereka yang cedera dalam kemalangan pula berjumlah 8,621 kes pada tahun ini berbanding 2,486 kes pada 2019.
"Bagi jumlah saman pula secara keseluruhan kita keluarkan sebanyak 3,9235 saman pada 2022 iaitu meningkat berbanding 18,219 saman pada 2019 melibatkan saman K170A dan saman K257," katanya.
Beliau berkata, bagi enam kesalahan utama sepanjang Op Selamat, sebanyak 18, 39,235 saman telah dikeluarkan membabitkan 26,520 saman melebihi had laju, lima saman memandu di lorong kecemasan, 361 saman garisan berkembar, 1,884 saman potong Q, 923 saman lampu isyarat dan 351 saman guna alat telekomunikasi.