Pandu lebih had laju kesalahan utama pemandu bas di Kelantan

Iklan
Shuhaimi (tiga, kanan) memotong riben sebagai gimik perasmian Majlis Pelancaran Program Pemandu Berhemah Sani Ekspress.

KOTA BHARU - Sebanyak 12 saman berkaitan pemanduan melebihi had laju dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pemandu bas di Kelantan bagi tempoh empat bulan bermula dari 1 Januari sehingga 10 Mei tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, kesalahan memandu melebihi laju mendominasi secara keseluruhan 14 saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu terhadap pemandu bas ekspres serta bas mini di negeri tersebut bagi tempoh berkenaan.

Iklan
Iklan

"Bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 43 saman dikeluarkan oleh polis kepada pemandu bas ekspres dan bas henti-henti.

"Saman pemandu bas tahun lalu melibatkan 33 kesalahan memandu melebihi had laju, kesalahan tiada lesen, tiga lesen tamat tempoh dan masing-masing satu saman bagi kesalahn memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, melanggar lampu isyarat merah serta penyebab kemalangan.

Iklan

"Pada tahun ini sehingga 10 Mei lalu, sebanyak 12 saman pemandu yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju dan masing-masing satu bagi kesalahan memotong barisan serta menyebabkan kemalangan jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pemandu Berhemah Sani Ekspress di Tiong, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Urusan Sani Express Sdn Bhd, Wan Mohd Iskandar Salleh.

Iklan

Pada masa sama Shuhaimi tidak menolak faktor penglibatan dengan gejala dadah antara punca mendorong pemandu memandu melebihi had laju sekali gus melanggar undang-undang.

"Bukan semua terlibat dengan dadah namun ada yang positif bahan terlarang itu semasa memandu selain tabiat suka memandu laju serta kerap kali mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjangkakan pertambahan kenderaan masuk ke Kelantan sempena musim cuti sekolah pada bulan depan dan menasihati pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang serta berhati-hati bagi mengelak kemalangan maut.

Sementara itu, Wan Mohd Iskandar berkata, pihaknya mengadakan kerjasama dengan PDRM bagi meningkatkan aspek intergriti dalam kalangan 150 pemandu bas ekspres milik syarikat itu.

"Selain PDRM, syarikat ini juga berkerjasama dengan pihak Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memastikan pemandu bas bebas daripada gejala penagihan dadah dan berdisiplin tinggi.

"Syarikat juga mengadakan program pemanduan berhemah selain mengambil langkah proaktif dengan memasang peranti yang dapat mengesan perlakuan pemandu bas ketika memandu ke destinasi dituju untuk menambah baik perkhidmatan,” katanya.