Penternak ayam terjejas angkara kartel perlu dibantu

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mencadangkan agar kerajaan memberikan bantuan khas kepada penternak-penternak ayam tempatan yang terpaksa gulung tikar akibat kartel bagi memastikan bekalan ayam mencukupi.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan juga disaran untuk mewujudkan satu agensi khas seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi menyegerakan pengimportan ayam daripada negara jiran seperti Thailand.

Iklan
Iklan

"Ini bagi memastikan keupayaan pihak pengimport dari pelbagai segi termasuk kuantiti dan dana terjamin.

"Ia juga agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak pembekal di Thailand hingga akhirnya terpaksa kembali bergantung kepada syarikat-syarikat kartel yang besar,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Iklan

Tambah beliau, selain pelan jangka pendek bagi memenuhi keperluan semasa rakyat, pelan jangka panjang dengan perincian dasar, hala tuju dan mekanisme pelaksanaan yang jelas mesti dilakukan segera.

"Sebagai contoh, dasar penanaman jagung bagi tujuan memenuhi bekalan dedak mestilah jelas termasuk dari segi pengawalan harga, pemberian subsidi dan pembangunan bersepadu yang komprehensif.

Iklan

"Ia bagi memastikan harga jagung yang dibekalkan kelak adalah kompetitif berbanding import dari Brazil dan Argentina yang ternyata punya kelebihan dari segi skala ekonomi,” jelasnya.

Asyraf Wajdi berkata, pemuda UMNO turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah Lembaga Pembangunan Unggas Negara (LPUN) supaya satu dasar yang komprehensif dan tindakan bersepadu melibatkan beberapa kementerian dapat dilaksanakan.

"Sekaligus memastikan seluruh rantaian bekalan ayam dari aspek penternakan hinggalah ke peringkat penjualan dan pengeksportan terpelihara dari segi harga, kualiti dan bekalan semasa,” katanya.

Pemuda UMNO menyambut baik tindakan tegas kerajaan untuk segera menangani isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit serta meresahkan rakyat ketika ini.

"Tindakan tegas dan pengisytiharan perang terhadap kartel di kalangan syarikat-syarikat tertentu yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran amatlah dialu-alukan,” ujarnya.