SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan menggelar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai diktator adalah tidak wajar.
Katanya, ini kerana Ahli Parlimen Langkawi itu menang dalam pilihan raya, malah pernah melepaskan jawatan.
"Tun banyak mengalah kepada DAP, Tun bebaskan orang dipenjarakan, Tun selamatkan orang yang sedang dibicarakan. Itu bukan sifat diktator," katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebelum ini dalam satu wawancara meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji serta gagal menggerakkan agenda reformasi seperti yang sepatutnya.
Beliau turut meluahakan isi hati bahawa sukar bekerja dengan bekas diktator yang didakwa menyebabkan pelbagai kerosakan termasuk kehidupan keluarga dan pemerintahan negara.
Kenyataan tersebut mendapat pelbagai reaksi dan kritikan daripada pemimpin PH khususnya Bersatu yang menyatakan Nurul Izzah tidak wajar mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Perdana Menteri lebih-lebih lagi kepada media luar.
Bagaimanapun, beliau semalam mempertahankan kenyataan bahawa Dr Mahathir adalah bekas diktator seperti yang dikatakan dalam wawancara sebelum ini.
Jelasnya, gelaran bekas diktator itu adalah faktar yang diketahui umum dan ia bukan pertama kali disebut olehnya secara terbuka.