ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alor Setar merampas 19,401 liter minyak diesel di sebuah bengkel besi di Gurun, pada Ahad.
Pengarah Pejabat KPDNHEP Negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 5.25 petang selepas melakukan risikan selama sebulan.
Iklan
Iklan
Katanya, ketika serbuan didapati premis tersebut beroperasi dan menemui seorang lelaki sedang memindahkan minyak diesel dari tangki tambahan di atas lori ke dalam tangki fiber di premis terbabit.
"Hasil pemeriksaan didapati sejumlah 19,401 liter minyak diesel berada di dalam tangki fiber tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Menurutnya, hasil keterangan awal, premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan apa-apa lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
"Selain diesel kami turut menyita sebuah lori bernombor pendaftaran Malaysia, sebuah tangki tambahan (Fiber) had muatan 5460 dan pam elektrik," katanya.
Affendi berkata, keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM 71,700.00 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan.