Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, beliau telah dihubungi oleh pemain industri yang mempersoalkan keputusan tersebut.
Bagaimanapun menurutnya, pemain industri sepatutnya boleh menjangkakan langkah drastik itu akan diambil kerajaan ekoran desakan ketiadaan bekalan ayam yang mencukupi di pasaran.
"Sebab itu pemain industri perlu mainkan peranan memastikan bekalan mencukupi, jadi tak perlu kerajaan ambil keputusan drastik ini.
"Kita melihat negara lain juga ambil langkah sama kerana prihatin kepada rakyat sendiri. Jika ayam tak cukup dalam negara, tidak logik kita masih eksport ke negara luar.
"Ini bukan langkah selama-lamanya. Apa yang diharapkan keadaan akan pulih, apabila bekalan sudah mencukupi, maka kerajaan boleh benarkan bekalan dieksport semula," katanya mengulas keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan media pada Isnin.
Beliau ditemui pada Kenduri Raya bersama sektor perdagangan dalam negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di Piazza Pavillion Bukit Jalil di sini pada Selasa.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang menyifatkan keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam dan membatalkan permit import (AP) bagi bahan makanan sebagai satu langkah tergesa-gesa, Alexander menjelaskan, keputusan dibuat kerajaan adalah berdasarkan kepada keperluan.
"Ada aduan mengatakan bekalan tidak mencukupi sebab itu kita perlu pentingkan rakyat dahulu. Selagi belum belum memenuhi keperluan dalam negara maka kita larang eksport.
"Jika DAP kata itu tindakan melulu, bilakah masa yang sesuai? Kerajaan beri masa sebelum kuat kuasa, bukan hari ini umum esok terus laksana.
"Jika beri masa terlalu lama, lagi lama rakyat akan menderita. Jadi DAP kalau boleh jangan politik berlebihan," katanya.
Pada perkembangan sama beliau menjelaskan, kerajaan sedang membuat pertimbangan sama ada untuk meneruskan atau tidak Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang akan tamat 4 Jun depan.
Tambahnya, penelitian secara rapi perlu dilakukan supaya keputusan yang diambil nanti tidak menganiaya pihak lain.