‘Tak mustahil kartel ayam cari jalan belakang'

Iklan
Nazir Hussin Akhtar Hussin

SHAH ALAM – Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa melahirkan kebimbangan bahawa keputusan kabinet untuk menghentikan pengeksportan ayam berkuatkuasa 1 Jun ini akan gagal menyelesaikan bekalan sekiranya pemantauan dan penguatkuasaan di sempadan tidak diperketatkan.

Ketua Pemudanya, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, dengan pengharaman eksport ini, tidak mustahil kartel-kartel ayam akan mencari jalan belakang untuk menjualnya ke luar negara sekaligus akan menyebabkan keputusan kabinet tidak memberi kesan yang mendalam kepada pasaran tempatan.

Iklan
Iklan

"Kita sering mendengar kisah minyak masak diseludup ke negara jiran dan beras diseludup ke negara ini. Tidak mustahil selepas ini kisah seludup ayam pula akan berkumandang.

"Justeru, pihak penguat kuasa di peringkat kementerian, sempadan dan pelabuhan harus bekerja keras memastikan keputusan kabinet ini dikuat kuasa dengan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia menghentikan pengeksportan 3.6 juta ekor ayam sebulan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu dibuat sehingga harga dan pengeluaran ayam di dalam negara kembali stabil.

Iklan

Mengulas lanjut, Nazir Hussin menambah, pengharaman eksport ini akan membolehkan kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan dipulihkan berikutan pada setiap bulan negara ini mengeksport sekitar 3.6 juta ekor ayam ke luar negara.

"Sudah tentu kerajaan akan dikritik oleh pengeksport ayam yang mengaut keuntungan lebih baik di pasaran luar negara berbanding pasaran tempatan. Namun, kerajaan tiada pilihan dan harus mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Menurutnya, walaupun penternak dan peniaga ayam berhak mendapat keuntungan lebih, tetapi dengan situasi sekarang mereka perlu meletakkan kepentingan rakyat dan negara ini terlebih dahulu.