SEREMBAN - Hujan lebat dan angin kuat sejak jam 6.30 petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Mohd Syukri Madnor berkata, Kampung Ismail di Ampangan antara kawasan paling teruk terjejas selepas air dari sungai berdekatan melimpah ke kawasan perumahan di situ.
"Anggota kami sudah berada di lokasi dan sedang melakukan kerja menyelamatkan mangsa di beberapa rumah yang dinaiki air.
"Berdasarkan maklumat, air naik sehingga paras 0.5 meter di kawasan jalan menyebabkan ia tidak boleh dilalui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima jumlah rumah dan mangsa yang terlibat kerana anggota masih melakukan operasi mengeluarkan mangsa.
"Selain itu, kawasan lain yang turut dinaiki air setinggi kira-kira 0.1 hingga 0.2 meter antaranya di kawasan Taman Purba, dekat Ampangan, Jalan Tunku Kursiah dan Kampung Semarak, Rahang Kecil.
"Anggota kami turut menerima beberapa panggilan di lokasi berkenaan, namun keadaan masih terkawal dan air semakin surut," katanya.
Mohd Syukri berkata, hujan beserta ribut itu juga mengakibatkan pokok tumbang dan melintangi jalan menyebabkan laluan di Jalan Pantai berhampiran kilang koko tidak dapat dilalui.
"Operasi pembersihan membabitkan memotong, mengalihkan dan membersihkan pokok yang tumbang sedang dilakukan.
"Bagaimanapun ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kenderaan yang dihempap pokok," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak cuba meredah jalan yang dinaiki air menggunakan kenderaan selain diminta tidak bermain air banjir terutama pada waktu malam.