Penanaman jagung boleh kurang beban penternak ayam

Iklan
Usaha kerajaan menyediakan tanah TOL untuk penanaman jagung sebagai sumber alternatif kepada makanan ayam wajar dilaksanakan segera bagi mengurangkan isu kenaikan harga dedak yang dihadapi penternak. - Gambar hiasan 123rf Gambar kecil: Wooi Perng

LUMUT - Usaha kerajaan menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk penanaman jagung sebagai sumber alternatif kepada makanan ayam wajar dilaksanakan segera bagi mengurangkan isu kenaikan harga dedak yang dihadapi penternak.

Pengerusi Persatuan Penternak Manjung, Tan Wooi Perng berkata, dedak merupakan masalah utama yang dihadapi kebanyakan penternak di kawasan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, harga ayam dan telur banyak ditentukan oleh harga makanan ayam yang meliputi lebih 50 peratus daripada kos pengeluaran ayam.

Katanya, subsidi dedak perlu disediakan sebagai usaha tambahan kerajaan dalam menstabilkan bekalan ayam di pasaran negara.

Iklan

"Harga dedak yang naik mendadak setiap bulan membebankan penternak. Harga bagi 50 kilogram dedak kini mencecah RM130 berbanding bulan lalu hanya RM126, manakala Mac lalu harga dedak hanya RM123. Harga dedak dijangka akan naik Jun ini.

"Usaha kerajaan untuk sediakan tanah bagi penanaman jagung itu boleh dilaksanakan. Penanaman skala besar diperlukan kerana kandungan dedak seperti jagung, gandum dan soya diimport 100 peratus.

Iklan

"Masalah dedak ini dihadapi seluruh dunia malah, kualiti dedak yang rendah menyebabkan ayam lambat matang untuk dijual," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Wooi Perng berkata, kerajaan digesa mengkaji semula harga kawalan RM5.60 ayam yang tidak lagi relevan ekoran kos perlu ditanggung peringkat ladang.

Katanya, pemberhentian eksport 3.6 juta ayam sebulan bermula 1 Jun ini juga tidaklah menguntungkan penternak.

"Sekiranya kerajaan hentikan eksport ayam, harga jualan tidak boleh dinaikkan dan keuntungan yang diterima penternak juga sedikit.

"Kerajaan juga perlu melihat penyediaan tenaga kerja asing dalam industri penternakan ini. Tenaga kerja asing diperlukan dalam melancarkan pengeluaran ayam," katanya.

Media melaporkan pemberhentian eksport 3.6 juta ayam sebulan bermula 1 Jun ini adalah antara lima pendekatan segera jangka pendek diumumkan kerajaan dalam usaha mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan itu.

Isu kekurangan bekalan ayam meruncing pada hujung minggu lalu apabila ada syarikat pengeluar ayam bertindak tidak mengeluarkan ayam ke pasaran menyebabkan kekurangan bekalan.

Kabinet meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah TOL untuk penanaman jagung bagi jangka masa panjang.