KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyangkal dakwaan bahawa kehadiran parti nasional di Sabah menjadi penghalang kepada pembangunan di negeri ini.
Sebaliknya, pandangan yang dilontarkan oleh Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah merupakan pandangan peribadinya dan ia bukanlah satu kekangan bagi pemimpin Sabah untuk terus menuntut hak pembangunan di negeri ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Tidak timbul persoalan parti nasional dan parti tempatan akan menjadi penghalang pembangunan Malaysia Timur (Sabah, Sarawak).
"Ini sekadar pandangan peribadi beliau dan tidak sama sekali mempengaruhi usaha Sabah untuk terus menuntut hak bagi membangunkan Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, perkara yang menjadi kelebihan kepada Sabah bahawa parti nasional boleh berhubung secara terus dengan pemimpin di peringkat Pusat bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan pembelaan rakyat berterusan khususnya di negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu juga yakin negeri ini akan membangun dengan pesat di bawah parti nasional.
Sebelum ini, Abdul Karim dilaporkan sebagai berkata, penguasaan parti bukan tempatan menghalang usaha negeri di Malaysia Timur bekerjasama dalam menuntut hak mereka di bawah MA63.
Katanya, ia berikutan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikuasai parti bukan tempatan dengan 'bos besar' masing-masing, khususnya UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk gabungan itu bukan dari Sabah.
Jelasnya, ia menyebabkan sebarang keputusan penting atau perkara dasar berkaitan MA63 diperlukan, menteri UMNO atau Bersatu akan merujuk 'bos besar' masing-masing terlebih dahulu.