Lima inisiatif atasi penurunan kebolehpasaran graduan

Iklan
Noraini

KUALA LUMPUR - Malaysia telah melaksanakan lima inisiatif intervensi bagi mengatasi penurunan kebolehpasaran graduan sepanjang tempoh pandemik Covid-19, demikian menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika berucap pada Forum Pendidikan Sedunia (EWF) di London pada Selasa lepas berkata, antara inisiatif tersebut adalah Program Penjana Kemajuan Kerjaya KPT (Penjana KPT-CAP), program 'Teaching Factory', Transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pendidikan fleksibel dan kursus ‘microcredential’ serta program-program mobiliti.

Iklan
Iklan

Noraini berkata, kajian pengesanan graduan atau 'Kajian Tracer' mendapati kebolehpasaran graduan Malaysia pada 2020 menurun sebanyak 1.8 peratus kepada 84.4 peratus berbanding 86.2 peratus pada 2019 akibat penularan Covid-19.

"Sebagai tindak balas strategik untuk mengelak kemerosotan selanjutnya, KPT melaksanakan beberapa inisiatif intervensi yang membolehkan kadar kebolehpasaran siswazah meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 85.5 peratus pada tahun 2021,” menurut kenyataan itu di sini pada Rabu.

Iklan

Mengenai Penjana KPT-CAP, Noraini berkata, kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk program peningkatan kemahiran serta membentuk kemahiran semula selama empat hingga enam minggu yang melibatkan industri dan telah memanfaatkan 20,000 graduan.

Program Penaja KPT-CAP itu unik kerana syarikat yang mengambil bahagian menandatangani 'Surat Akujanji' bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan sekurang-kurangnya 12 bulan selepas program selesai.

Dalam ucapannya, Noraini menjelaskan Malaysia turut melaksanakan program 'Teaching Factory' bagi memastikan graduan bersedia memenuhi permintaan semasa serta pasaran kerja.

Iklan

Ketika program itu dilaksanakan empat universiti awam yang mengkhusus dalam program teknikal dan teknologi tinggi berorientasikan praktikal dengan kerjasama pemain industri untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), latihan dan perkhidmatan dalam bidang-bidang berkaitan.

Menurut kenyataan itu, Noraini juga memberitahu bahawa Malaysia melakukan transformasi TVET bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan ia dilaksanakan dengan penubuhan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Majlis ini berperanan menasihati kerajaan mengenai bakat-bakat yang diperlukan oleh industri pada masa ini dan akan datang, serta teknologi-teknologi yang perlu diberi tumpuan di universiti," menurut kenyataan itu.

Selain itu, program pendidikan fleksibel dan microcredential serta program-program mobiliti turut membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan ketika tempoh pandemik.

EWF merupakan forum antarabangsa peringkat menteri yang dianjurkan secara tahunan di London sejak 2002 dan bertindak sebagai platform perbincangan serta perkongsian pandangan, pengalaman, dasar, strategi dan hala tuju pembangunan pendidikan di samping isu-isu utama dan terkini dalam bidang pendidikan di peringkat global. - Bernama