'Jangan tikam belakang'

Iklan
Sebahagian Penyelaras DUN yang mengangkat sumpah di hadapan Ahmad Faizal, hari ini.

IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan semua pihak termasuk Penyelaras DUN di negeri bekerja sebagai satu pasukan dan tidak bertindak tikam belakang.

Menurutnya, kejayaan PH menubuhkan kerajaan negeri ini bukan hasil daripada seorang individu sebaliknya usaha berpasukan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tidak wajar bagi seseorang pemimpin bertindak memecahbelahkan pasukan hanya untuk kepentingan peribadi.

"Saya ingatkan kepada semua termasuk diri saya sendiri bahawa kita bekerja sebagai satu pasukan dan kejayaan menubuhkan kerajaan ini bukan hanya kerana seorang individu sebaliknya dilakukan atas usaha berpasukan.

Iklan

"Oleh itu, bagi memelihara dan mengurus kejayaan tersebut, satu perkara penting adalah jangan kita berpecah-belah dan menikam dari belakang serta melakukan usaha-usaha yang tidak berguna hanya untuk kepentingan diri sendiri," katanya ketikan berucap pada Majlis Penyerahan Watikah dan Angkat Sumpah Penyelaras DUN Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Exco-exco Kerajaan Perak, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Iklan

Ahmad Faizal berkata, seramai 28 Penyelaras DUN dilantik membabitkan kawasan-kawasan yang dimenangi pembangkang.

Katanya, kesemua Penyelaras DUN itu akan bertindak sebagai wakil kerajaan negeri dalam memberi khidmat kepada rakyat di peringkat akar umbi.

"Bagi semua Penyelaras DUN yang dilantik hari ini; lapan daripada parti PKR, 14 daripada Bersatu dan enam daripada parti Amanah, perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa walaupun anda mewakili kerajaan negeri, namun di kawasan masing-masing, anda masih 'pembangkang'.

"Jadi, kita perlu bekerja dengan kuat, berfikir, merencana dan mengatur gerak kerja sebagai pembangkang untuk memenangi hati dan sokongan rakyat di kawasan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, Penyelaras DUN juga perlu lebih agresif dan proaktif dalam menjalinkan hubungan kerja yang baik dengan semua komponen jentera pentadbiran kerajaan negeri dari peringkat atas sehingga ke bawah.