Isu bekalan ayam: Gerakan gesa kerajaan ambil pendekatan tambahan

Iklan
Tindakan tegas terhadap kartel yang cuba mengugut kerajaan perlu diambil bagi memastikan rakyat tidak dihimpit dengan isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga. Gambar kecil: Koo Shiaw Lee

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan mengambil beberapa pendekatan tambahan agar bekalan ayam mencukupi sekali gus dapat memenuhi kehendak rakyat.

Naib Presidennya, Koo Shiaw Lee berkata, selain ketetapan yang telah diumumkan kerajaan, beberapa pendekatan jangka pendek perlu dilaksanakan kerana pengguna dan penjual mula terhimpit dalam isu ini.

Iklan
Iklan

"Saya juga sependapat bahawa industri penternakan sebaiknya diletakkan di bawah kawalan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) agar tidak timbul isu kartel yang berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Shiaw Lee berkata, kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap kartel yang cuba mengugut kerajaan bagi memastikan rakyat tidak dihimpit dengan isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

Iklan

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memberi bantuan khas kepada penternak-penternak dan peniaga-peniaga ayam supaya operasi perniagaan mereka tidak tergendala disebabkan tekanan kartel.

"Kedua jalan penyelesaian yang terbaik adalah dengan mengawal kos dari awal hingga akhir yang pada masa sama memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

Iklan

"Ini kerana semua pihak bermula dari penternak, pemborong, peniaga dan pengguna berada dalam dilema setiap kali berlaku kenaikan bahan makanan itu. Lebih memburukkan keadaan ada yang mengalami kerugian berterusan," ujarnya.

Selain itu, Shiaw Lee berkata, kerajaan perlu konsisten terhadap pemantauan harga bahan mentah di pasaran melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta mengutamakan permintaan dalam negara berbanding luar negara.

Tambahnya, kerajaan juga perlu mula merangka dasar yang lebih komprehensif untuk menangani isu kenaikan harga barangan makanan secara lebih serius.