KEMAMAN - Mayat wanita yang lemas ketika mandi bersama suaminya di Pantai Penunjuk Kijal, disini ditemui di Pantai Air Tawar berdekatan Pulau Tenggol, Dungun, kira-kira 40 kilometer dari lokasi kejadian pada Selasa.
Mangsa, Rokiah Abd Rahman, 59, yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu ditemukan pada jam 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat ditemukan terapung oleh beberapa pekerja chalet.
"Pihak penyelamat menerima laporan daripada beberapa pekerja chalet mengenai penemuan objek seperti manusia.
"Sejurus menerima maklumat, anggota polis dan bomba dengan bantuan orang awam bergegas ke lokasi berkenaan dan membawa mayat mangsa ke darat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata, mayat mangsa tiba di Jeti Kuala Kemaman disini kira-kira jam 3 pagi dan proses pengecaman dibuat oleh dua waris di Unit Forensik Hospital Kemaman.
Jumaat lalu, sepasang suami isteri dari Temerloh, Pahang dikhuatiri lemas ketika mandi manda di Pantai Penunjuk Kijal disini, kira-kira jam 4 pagi.
Mangsa, Ahmad Qarib Ab. Kadir, 60 dan isterinya, Rokiah Abd Rahman, 59, dari Temerloh, Pahang, disedari hilang daripada lokasi penginapan oleh empat anak kira-kira jam 5 pagi.
Pasangan suami isteri itu meninggalkan empat anak berusia antara 16 hingga 24 tahun di lokasi penginapan sebelum turun ke pantai yang terletak 40 meter dari lokasi penginapan mereka.
Mayat Ahmad Qarib ditemukan terapung oleh dua pemancing kira-kira dua batu nautika dari Kuala Kemaman pada 2.10 petang pada hari sama.