Beg pakaian berisi syabu lebih RM1 juta ditemui tepi pantai

Iklan
Iskandar (tengah) menunjukkan beg pakaian yang berisi 26 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM1.04 juta yang dirampas dalam rondaan operasi khas pada sidang akhbar pada Rabu. - Foto Bernama

ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 26 kilogram (kg) dadah dipercayai syabu bernilai RM1.04 juta ke negara jiran di perairan Tanjung Sepat, Selangor, Isnin lepas.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, dadah berkenaan ditinggalkan dalam sebuah beg pakaian yang diletakkan di tepi tebing pantai Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat.

Iklan
Iklan

"Beg pakaian itu ditemukan oleh lima anggota Maritim yang melakukan rondaan khas kira-kira 10 malam namun tiada sebarang bot atau individu dijumpai di kawasan berkenaan.

"Beg kemudian dibawa naik ke atas bot Maritim dan pemeriksaan menemukan 26 bungkusan berwarna kuning berisi hablur kristal dianggar seberat sekilogram setiap satu bungkus," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh dari negara ini sebelum cuba diseludup keluar sindiket pengedaran secara terancang menggunakan laluan darat dan laut.

Iskandar (kanan) menunjukkan peta lokasi dadah pada sidang akhbar pada Rabu. - Foto Bernama

Iskandar berkata, berdasarkan risikan, dadah tersebut akan dibawa oleh 'transporter' darat (ejen pengangkut) ke tepi tebing tersebut sebelum diambil ahli sindiket lain melalui jalan laut untuk diseludup keluar ke negara jiran.

Iklan

Beliau berkata, ketika rondaan itu dijalankan, beg berisi dadah berkenaan disyaki baru sahaja ditinggalkan di tepi tebing pantai tersebut sebelum dijumpai anggota Maritim Malaysia.

Menurutnya dadah tersebut dipercayai boleh dibekalkan kepada 56,000 penagih manakala harga setiap satu kilogram dadah berkenaan di pasaran negara jiran adalah sekitar RM100,000 hingga RM200,000.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama