SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan pantas untuk bawa pulang setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, ia kerana isu berkenaan melibatkan sikap individu terhadap rasuah dan penyelewengan dana oleh penguasa perasuah.
"Saya menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki terkait usaha untuk membawa pulang setiap sen dana syarikat 1MDB.
"SPRM juga perlu terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak dua tahun lalu,” katanya menerusi satu hantaran Facebook pada Rabu.
Pada Selasa, Azam berkata, usaha untuk membawa pulangan setiap sen dana syarikat 1MDB yang diseleweng masih belum selesai.
Tambah beliau, pada tahun 2020, sejumlah RM14 bilion berjaya dituntut melalui kompaun dan penyelesaian daripada pelbagai pihak manakala RM5.11 bilion lagi diperoleh pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sikap tegas terhadap rasuah dan salahguna kuasa adalah cerminan integriti masyarakat yang tinggi.
"Kita tidak harus ada kompromi sama sekali dalam hal melibatkan integriti,” ujarnya.