Sekinchan dilanda banjir kilat

Iklan
Keadaan premis perniagaan di Sekinchan yang dilanda banjir kilat pada Rabu.

SEKINCHAN - Hujan lebat lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan di Sekinchan dilanda banjir kilat pada Rabu.

Ahli Majlis, Majlis Daerah Sabak Bernam, Noor Sulisiah Ampira Wani Miswan Alwi berkata, beberapa premis perniagaan di Pekan Sekinchan sudah digenangi air sejak jam 1 petang Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain itu, beberapa rumah penduduk di sekitar Pekan Sekinchan turut dimasuki air.

"Hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Sekinchan mula dilimpahi air, bagaimanapun keadaan masih terkawal," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Noor Sulisiah berkata, kawasan perumahan yang turut terkesan dalam kejadian banjir kilat itu ialah di Taman Sekinchan Jaya dan Taman Indah.

Terdapat serpihan sampah dihanyutkan banjir berhadapan lampu isyarat Pekan Sekinchan.

"Air naik terlalu cepat dan sukar dijangka. Ini merupakan kejadian banjir kilat terburuk pernah dialami di sini," jelasnya.

Iklan

Sementara itu, pemilik akaun Facebook turut memuat naik video dan situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Sekinchan.

Menerusi satu rakaman video memperlihatkan keadaan jalan di kawasan lampu isyarat Pekan Sekinchan yang menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa meredah banjir kilat.

Malah, menerusi rakaman itu terdapat serpihan sampah sarap turut dihanyutkan banjir selain laluan di Pekan Sekinchan turut ditenggelami air berikutan sudah melepasi paras longkang.