Mesyuarat khas MPPN bincang isu sekuriti makanan

Iklan
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

PUTRAJAYA - Satu mesyuarat khas Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) telah diadakan pada Rabu untuk mendapatkan pandangan dan cadangan berkaitan isu-isu semasa berkaitan sekuriti makanan negara.

Mesyuarat secara hibrid itu dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Iklan
Iklan

Menurut Ronald, antara isu penting yang dibincangkan adalah langkah-langkah intervensi jangka sederhana dan panjang bagi merangka hala tuju sektor pertanian dan industri makanan mengikut perkembangan dan keperluan semasa secara menyeluruh dan holistik.

"MPPN akan bertindak sebagai penasihat kepada Menteri MAFI dalam mengenal pasti isu-isu khususnya berkaitan sekuriti makanan negara dan menyumbang pandangan serta cadangan yang sesuai bagi memacu hala tuju sektor agro makanan mengikut perkembangan dan keperluan semasa.

Iklan

"Keahlian MPPN bagi sesi 2021/2022 terdiri daripada 15 ahli yang merangkumi pemain industri, pakar ekonomi, ahli akademik dan mereka yang mempunyai kepakaran dalam sektor agro makanan seperti Tengku Laksamana Perlis, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dan Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

"Selain itu, Profesor Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad, Tan Sri Francis Lau Tuang Nguang, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, Profesor Dr Suhaimi Napis, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Profesor Dr M Niaz Asadullah, Datuk Raghu Loganathan Pillai, Dr Yasmin BH Ooi, Datuk Azman Yusoff, Datuk Seri Daljit Singh Dalliwal dan Datuk Dr Azizan Ab Rashid,” jelasnya.

Iklan

Mengulas lanjut, Ronald berkata, ahli-ahli MPPN mengambil maklum langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan baru-baru ini untuk menangani isu sekuriti makanan termasuk pemberian subsidi kepada penternak ayam, pemansuhan Approved Permit (AP) untuk produk agro makanan, pemberhentian eksport ayam dan pelbagai langkah lain.

Pada masa yang sama, MPPN juga menyatakan ia perlu disusuli dengan langkah jangka masa sederhana dan panjang bagi mendepani cabaran-cabaran sekuriti makanan negara secara komprehensif.

"MAFI akan mengambil tindakan susulan berkaitan segala cadangan dan pandangan yang telah diberikan dalam mesyuarat ini.

"Sebahagian cadangan termasuk langkah-langkah jangka masa sederhana dan panjang bagi memperkukuhkan sekuriti makanan negara akan dibawa untuk pertimbangan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 30 Mei depan.

"MAFI akan terus mengadakan perbincangan dan libat urus terbuka dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha menghadapi cabaran-cabaran semasa yang mengancam sekuriti makanan negara sekali gus memastikan bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.