SHAH ALAM - Sebanyak 45 unit Sistem Amaran Perlanggaran Motosikal MIROS (MCAS) akan dibangunkan dan dipasangkan pada motosikal milik penunggang motosikal persendirian bagi menguji keberkesanan sistem tersebut menerusi satu kajian rintis.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, kajian tersebut akan melibatkan penunggang motosikal sebenar dalam kalangan mereka yang berulang alik ke tempat kerja dengan menggunakan motosikal.
Menurutnya, projek kajian rintis itu merupakan satu kerjasama penyelidikan yang telah dibentuk antara MIROS dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
"Proses pencarian 45 orang peserta kajian dijadualkan bermula pada bulan Jun 2022 dan akan diumumkan secara rasmi melalui platform media sosial serta kenyataan media.
"Untuk kajian rintis ini, pemilihan peserta akan melibatkan kawasan Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang.
"Sistem MCAS akan dipasangkan pada motosikal peserta selama tiga bulan untuk menguji keberkesanan sistem amaran perlanggaran tersebut. Hasil kajian ini dijangka akan dikeluarkan pada suku pertama tahun 2023,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Khairil Anwar berkata, kajian tersebut akan dibiayai secara bersama oleh PLUS menerusi sumbangan dana bagi membiayai kos pengumpulan dan analisa data kajian manakala kos pembangunan 45 unit sistem MCAS akan dibiayai menggunakan dana penyelidikan MIROS.
"PLUS juga akan terlibat secara langsung dalam proses pengumpulan data kajian. MIROS sangat berbesar hati atas sokongan dan penglibatan PLUS dalam kajian rintis ini yang merupakan satu bukti jelas komitmen PLUS dalam meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.
"Kerjasama strategik antara MIROS dan PLUS dalam kajian rintis pemasangan sistem amaran perlanggaran motosikal ini merupakan satu tanda aras dan pencapaian yang penting dalam kemajuan serta kapasiti penyelidikan MIROS," ujarnya.
Justeru, kerjasama ini diharap dapat menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama dan sokongan pihak yang terlibat dalam rekabentuk serta pengeluaran motosikal membabitkan semua pemegang taruh untuk bersama-sama meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal melalui pengaplikasian hasil kajian dan penggunaan teknologi termaju dalam reka bentuk motosikal yang lebih selama.
Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pihaknya berharap penyelidikan ini mampu meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal.
"Sebagai rakan strategik untuk keselamatan, PLUS berasa gembira diberi peluang berkolaboratif bersama MIROS dalam kajian rintis ini.
"Ia seiring dengan pendekatan 3E (Engineering, Enforcement & Education) yang diadaptasikan oleh PLUS dalam usaha kami untuk meningkatkan keselamatan sepanjang rangkaian lebuh raya kami.
"Ia juga bertepatan dengan matlamat kami untuk menjaga pelanggan lebuh raya dengan baik sepanjang perjalanan mereka," katanya.
Tambahnya, hasil kajian ini dijangka dapat memberi impak yang signifikan dalam meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal di Malaysia.
"Inisiatif ini juga merupakan salah satu strategi untuk menyokong Pelan Keselamatan Jalan Raya Nasional 2022 hingga 2030 dalam menurunkan kadar kematian akibat nahas jalan raya terutama melibatkan penunggang motosikal,” jelasnya.