Polis awasi setiap masjid di Selangor

Iklan
Noor Azam (dua, kiri) menyerahkan peti aduan sebagai gimik pelancaran 1M1P.

SHAH ALAM - Setiap masjid di Selangor akan diawasi seorang anggota polis sebagai Pegawai Perhubungan Masjid yang berperanan memantau keselamatan dan pencegahan jenayah di bawah program Satu Masjid Satu Polis (1M1P).

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, statistik sepanjang 2018 menunjukkan sebanyak 89 kes jenayah termasuk curi tabung masjid, pecah masuk pejabat dan kenderaan jemaah serta ceroboh ruang solat wanita untuk mencuri beg dilaporkan manakala antara Januari dan Mac tahun ini sebanyak 17 kes.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 424 masjid akan dilengkapi peti aduan dan papan tanda bagi program 1M1P yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

"Anggota polis yang dilantik akan bertanggungjawab melakukan rondaan berkala, menyalurkan maklumat semasa kes jenayah dan menyemak peti aduan dalam usaha menangani jenayah dan menjadikan masjid sebagai zon selamat.

Iklan

"Setakat ini sebanyak 321 peti aduan dan 318 papan tanda dipasang telah dipasang manakala selebihnya belum berbuat demikian. Saya mohon jawatankuasa masjid untuk bertindak melakukan pemasangan sebelum 31 Mac ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran 1M1P anjuran Polis Kontinjen Selangor bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Iklan

Turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Datuk K Kumaran dan Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim.

Katanya, pencegahan jenayah dan keselamatan adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan masyarakat untuk menangani masalah itu.

"Program 1M1P adalah inisiatif kita untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dan tidak menolak untuk menyebar luaskan program sama di rumah ibadat lain sekiranya matlamat program perintis ini berjaya.

"Program ini mula diperkenalkan oleh Polis Kontinjen Terengganu sekitar 2012 diilhamkan oleh Datuk Seri Rosli Ab Rahman ketika menyandang jawatan Ketua Polis Terengganu," katanya.

Noor Azam (kiri) dan Haris menyempurnakan pelancaran 1M1P sambil disaksikan Kumaran.

Sementara itu Haris berkata, JAIS akan memberikan kerjasama dengan polis ke arah meningkatkan keselamatan mencegah jenayah menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu memastikan masjid dan rumah ibadah zon selamat serta bebas jenayah.

"JAIS sebelum ini menggunakan khidmat polis bantuan yang ditempatkan di masjid negeri dan pengawal keselamatan di beberapa buah masjid sekitar Selangor selain menggalakkan pemasangan CCTV dan mengunci stor simpanan barang bagi jawatankuasa masjid yang berkemampuan.

"JAIS sambut baik kerjasama strategik ini dan berharap insiden serangan di Masjid Christchurch 15 Mac lalu dijadikan iktibar dengan pentingnya saling berkongsi idea dalam usaha meningkatkan keselamatan dan mencegah kejadian sama berlaku," katanya.