Sepak takraw: Tiada keperluan wujudkan beregu campuran

Iklan
Kategori regu campuran antara lelaki dan perempuan dalam sukan sepak takraw dilihat tidak sesuai dengan budaya ketimuran serta adat masyarakat Asia Tenggara selaku pewaris dan pengasas sukan sepak takraw. Gambar kecil: Faizuddin Zai

SHAH ALAM - Pemuda Pas berpendapat tiada keperluan untuk mewujudkan kategori regu campuran antara lelaki dan perempuan dalam sukan sepak takraw seperti yang dicadangkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTFA).

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan, Dewan Pemuda Pas, Faizuddin Zai berkata, ini kerana ia tidak sesuai dengan budaya ketimuran dan adat masyarakat Asia Tenggara selaku pewaris dan pengasas sukan sepak takraw.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dari segi kesesuaian, agak sukar untuk kategori tersebut dilaksanakan dengan baik kerana perbezaan fizikal dan kekuatan antara lelaki dan perempuan.

"Cadangan ini juga pernah ditegur oleh mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang menyifatkan ia sebagai acara sarkas dan cadangan mengarut.

Iklan

"Dalam bersukan, ada batas yang perlu dipatuhi. Antaranya, sukan tersebut tidak boleh sehingga melanggar batas syarak yang ditetapkan. Contoh, walaupun dalam bersukan, pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi harus dielakkan sebolehnya.

"Atas sebab ini, Dewan Pemuda Pas menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan terbaru ISTAF dalam mewujudkan acara kategori regu campuran antara lelaki dan perempuan dalam sukan sepak takraw,” katanya dalam satu hantaran pada Rabu.

Iklan

Pada 21 Mei, ISTFA menetapkan acara baharu campuran akan melibatkan seorang pemain lelaki dan dua pemain wanita bagi antara regu manakala jantina dua pemain simpanan acara itu bergantung kepada strategi jurulatih masing-masing

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, acara baharu campuran antara regu itu akan diperkenalkan pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok dari 23 hingga 31 Julai depan.

Tambah Faizuddin, adalah lebih baik sekiranya ISTAF dapat memperkasakan acara dan kategori sedia ada bagi mengangkat martabat sukan takraw di mata dunia.

Beliau turut menggesa agar Persatuan Sepak Takraw Malaysia tidak menyertai kategori itu dalam kejohanan dunia tersebut.

"Adalah lebih baik segala usaha dan kudrat digunakan untuk menguatkan skuad yang sedia ada bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia di mata dunia dalam sukan sepak takraw.

"Setiap yang kita lakukan pasti akan membuahkan hasil dan kejayaan, seandainya prinsip syarak yang menjadi tunjang tidak digadaikan hanya untuk bersukan,” jelasnya.