SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kerajaan menaik taraf sistem yang diguna pakai agensi di bawahnya terutama Jabatan Imigresen bagi membolehkan perkhidmatannya lebih efisien.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, teknologi terkini membolehkan urusan dapat berjalan dengan lebih lancar sekali gus memberi pengalaman terbaik kepada rakyat yang melakukan urusan.
"Kakitangan yang tidak mencukupi juga perlu ditambah dan diisi dengan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.
"Dalam situasi yang berlaku di Jabatan Imigresen ketika ini sudah pasti akan mengakibatkan kekangan dalam mengatur sumber manusia kerana pertambahan waktu operasi.
"Bagaimanapun Cuepacs berharap kerajaan terutama ketua jabatan masing-masing turut sama memberi perhatian mengenai kebajikan dan keselamatan kakitangan Jabatan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, Johor sesak ekoran orang ramai berhasrat memperbaharui pasport antarabangsa susulan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lalu.
Kejadian tersebut mengakibatkan ramai pelanggan yang hadir tidak berpuas hati hingga menularkan situasi berkenaan di media sosial.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, tuduhan dan dakwaan orang ramai yang menganggap Jabatan Imigresen tidak melaksanakan penambahbaikan bagi mengatasi situasi luar jangkaan itu adalah tidak berasas.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan serta urusan ke luar negara sebaiknya dan tidak lakukan urusan di saat akhir.
Dalam pada itu Adnan turut menyarankan pihak terlibat menyusun atur penggunaan sumber manusia dengan teliti agar tidak berlaku tekanan kerja dalam kalangan kakitangan.
"Mereka (kakitangan) ini ada yang mula bekerja seawal jam 4.30 pagi dan pulang lewat malam hingga terpaksa mengabaikan keluarga serta urusan sendiri.
"Bekalkan semua kakitangan yang terlibat dengan peralatan dan sistem yang terbaik. Pengorbanan mereka juga sewajarnya dihargai oleh semua pihak dan bukannya dicemuh,” ujarnya.