KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muafakat Nasional (MN) tetap hidup selagi tidak dibubarkan.
Beliau menyifatkan, MN masih ada nyawa meskipun hanya tinggal 'nyawa-nyawa ikan' yang sebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Masih ada nyawa..sebelum ini dia (Zahid) kata dah mati. Jadi (MN) masih ada nyawalah.
"Jadi bagi saya selagi ada nyawa, kita 'on'. Kecuali dia (UMNO) isytihar bubar MN, tapi setakat ini tiada," katanya ditemui pemberita pada Majlis Raikan Aidilfitri bersama PAAB di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid sebelum ini menyifatkan MN dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dan soal masa depan kerjasama itu sewajarnya dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti untuk diputuskan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata dalam konteks menghadapi pilihan raya pihaknya menyambut baik hasrat untuk pimpinan-pemimpin MN duduk berbincang.
"Walaupun Pas komponen dalam Perikatan Nasional (PN), dan mereka faham kita ada kepentingan bersama, tempat-tempat yang perlu kita duduk, bincang dan perhalusi," katanya.
Beliau pada masa sama berkata, MN perlu kerangka yang lebih besar tidak hanya untuk politik semata-mata.
"Kita nak supaya isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam ada satu platform untuk bincang isu kebajikan, kepentingan orang Islam di Malaysia dan luar negara
"Jadi apa platformnya? MN ini kalau tidak hanya politik, kita kena tengok kerangka yang lebih besar," katanya.