SEKINCHAN - Rata-rata penduduk di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Parit 7 Sungai Leman di sini, menyifatkan kejadian banjir kilat yang berlaku berikutan hujan lebat dan pertembungan fenomena air pasang besar paling buruk pernah dialami mereka sejak lebih 30 tahun lalu.
Seorang penduduk, Mohd Amirul Asraf Md Usul, 23, berkata, kawasan itu pernah dilanda banjir, namun tidak pernah melimpah sehingga ke dalam rumah.
Menurutnya, semasa kejadian, dia berada di rumah bersama ibu, abang dan dua kakak serta empat anak saudaranya.
"Kami tak sangka air naik dengan cepat hanya dalam tempoh dua jam sahaja selepas hujan lebat pada jam 11.30 pagi Rabu," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Amirul memberitahu, mereka sekeluarga terkejut apabila air mula naik ke laman rumah dan menghampiri pintu depan sejam selepas hujan.
"Nasib baik kami sempat kemas dan alihkan barangan seperti perabot serta peralatan elektrik ke tempat lebih selamat," ujarnya.
Jelasnya, banjir kali ini dianggap luar biasa apabila keseluruhan rumah ditenggelami air.
"Ahli keluarga masih menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah dan kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah nenek di Parit 5, Kampung Sentosa Sekinchan," jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Siti Kowiyah Dollah Fakeh, 56, berkata, kawasan rendah penempatan penduduk dan terletak berhampiran dengan pantai menyebabkan ia mudah dinaiki air berbanding di kawasan lain.
"Saya menetap di sini lebih 30 tahun dan ini kejadian paling buruk dialami dan berharap ada penyelesaian bagi mengatasi banjir pada masa depan," katanya.
Dia berkata, ketika kejadian, dia hanya bersendirian di rumah manakala dua anaknya ada urusan di luar.
"Saya terkejut apabila air sudah memenuhi keseluruhan rumah dan terpaksa mengangkat dan menyelamatkan barangan penting.
"Walaupun ketika ini air sudah semakin surut, tetapi saya bimbang jika malam ini hujan tanpa henti boleh mendatangkan risiko banjir semula," katanya.