PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon perlu memanfaatkan perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong masing-masing pada Jumaat serta Rabu depan sebaiknya dalam memilih barisan terbaik bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2023.
Malah menurut pemerhati bola sepak tanah air, Azlan Johar, para pemain terutamanya pemain baharu yang dipilih ke kem latihan pusat harus menunjukkan komitmen tinggi memandangkan dua perlawanan tersebut merupakan peluang terbaik kepada yang tidak dipanggil menyertai latihan sebelum ini.
"Ini adalah medan terbaik untuk Pan-gon menilai para pemain yang ingin dibawa ke kelayakan Piala Asia selain untuk menerapkan taktikal-taktikal baharu yang dia inginkan. Kalau nak bereksperimen ini adalah masanya yang terbaik.
"Sebab perlawanan sebenar sangat berbeza dengan sesi latihan kerana melalui perlawanan persahabatan seperti ini barulah dia tahu, apa kelemahan dan kekuatan pasukan sebelum ke kelayakan Piala Asia.
"Jadi para pemain yang dipilih ini perlu menunjukkan komitmen yang tinggi sekiranya diberikan tanggungjawab dalam perlawanan ini. Jangan ambil perlawanan persahabatan ini sambil lewa sebab skuad Harimau Malaya ada misi penting selepas ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Harimau Malaya dijadualkan menentang Brunei pada Jumaat, diikuti Hong Kong, Rabu depan dalam perlawanan persahabatan sebelum memulakan cabaran kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 8 hingga 14 Jun.
Pada saingan kelayakan itu, anak buah Pan-gon yang diundi dalam Kumpulan E akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun.
Dalam pada itu, Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan berharap anak buah Pan-gon dapat menjelmakan keputusan positif dalam kedua-dua perlawanan persahabatan tersebut.
Jelas Azlan, beliau yakin sekiranya keputusan positif mampu diraih secara tidak langsung akan membantu meningkatkan semangat dalam kalangan para pemain bagi menghadapi kelayakan itu yang sekali gus akan memberi kelebihan apabila berdepan pasukan-pasukan hebat seperti Turkmenistan dan Bahrain.
"Saya harap para pemain akan menggunakan dua perlawanan ini dengan menghasilkan keputusan positif. Kalau boleh menang ke atas Brunei dan Hong Kong lagi bagus sebenarnya.
"Apabila keputusan positif itu berjaya dicipta ia sudah tentu akan membantu menaikkan semangat para pemain dan sudah tentu perkembangan baik terutama ketika melawan pasukan-pasukan gergasi seperti Bahrain,”ujarnya