Jamal cari ikan Vietnam, Thailand

Iklan
Ikan di pasaran kini dijual dengan harga yang mahal. (Gambar kecil: Jamal)

SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sedang dalam usaha untuk mendapatkan bekalan ikan dari luar negara iaitu Vietnam, Thailand dan Myanmar untuk diimport ke negara ini.

Menurut Jamal, ia satu usaha yang dilakukannya untuk menjual ikan dengan harga yang murah memandangkan harga tersebut kini dianggap tidak stabil dan melampaui batas.

Iklan
Iklan

"Saya sedang berusaha sudah seminggu memikirkan kaedah bagaimana untuk mendapatkan bekalan ikan ini termasuklah berhubung dengan nelayan atau pemborong dari luar negara.

"Kalau dapat bawa masuk ikan sama ada yang segar atau sejuk beku juga sudah memadai. Ini supaya negara kita terutama rakyat dapat menikmati harga ikan yang sepatutnya. Saya akan cuba yang sebaiknya.

Iklan

"Insya-ALLAH dalam waktu terdekat atau selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, saya akan cuba membuat satu program jualan harga yang munasabah,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada tahun 2017, semasa negara mempunyai krisis harga ikan yang meningkat tinggi, Jamal menganjurkan satu program menjual empat jenis ikan dengan harga RM5 sekilogram (kg).

Iklan

Dalam pada itu, Jamal berkata, sekiranya tidak mampu membawa masuk ikan segar melalui rangkaian yang dibentuk bersama negara luar, beliau akan cuba bawa masuk stok ikan sejuk beku.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga perlu berperanan untuk mengimport ikan sejuk beku ketika negara mempunyai krisis kenaikan harga ikan kini.

"Bila dalam keadaan mahal ini, kita cuba galakkan kepada rakyat supaya beralih seketika untuk stabilkan harga ikan dengan makan atau beli ikan sejuk beku. Kalau sejuk beku, baru RM6 hingga RM7 harga ikan kembung untuk satu kg.

"Ia berbeza dengan yang segar iaitu mencecah sehingga RM20. Ini apa yang saya nampak. Harga tidak munasabah dan melampau. Sedangkan, nelayan jual kepada orang tengah lebih kurang RM7 hingga RM8 sahaja.

"Meskipun kualiti ikan sejuk beku dan segar ada beza, tetapi tidak jauh sangat bezanya. Namun harga mempunyai perbezaan yang sangat jauh. Jadi, lebih baik untuk kita import ikan jenis ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai kenaikan harga ikan, Jamal mendakwa ia merupakan permainan orang tengah yang ingin menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap keputusan kerajaan memansuhkan Approved Permit (AP).

Katanya, walaupun ikan di pasaran dijual dengan harga yang mahal, namun para nelayan tidak dibayar setimpal dengan harga yang telah dijual.

"Hanya pemborong yang untung dan nelayan tidak peroleh keuntungan yang banyak. Ini masalah yang tidak dapat diselesaikan,” ujar beliau.