PENYALAHGUNAAN dadah adalah isu yang tidak asing lagi di negara kita. Dahulu perang melawan dadah seperti ganja dan heroin, kini trend penagihan melibatkan dadah sintetik atau tiruan dalam bentuk pil atau kristal.
Dari sudut kesihatan fizikal, ia mengganggu tumpuan, melambatkan proses berfikir, penglihatan kabur dan mengganggu percakapan akibat ketidakseimbangan fungsi minda.
Dalam konteks psikologikal pula, penagih dadah berkemungkinan kurang keyakinan diri, berhalusinasi dan berhadapan stigma serta persepsi negatif daripada masyarakat.
Hubungan kekeluargaan juga berpotensi terjejas. Banyak akhbar melaporkan tindakan luar batas penagih dadah seperti mengugut ahli keluarga dan mencuri. Malah, ada kes penagih dadah sanggup membunuh ahli keluarga sendiri apabila keinginan mereka tidak dipenuhi.
Penyalahgunaan dadah sememangnya isu besar yang perlu segera ditangani. Ia bukan sahaja merugikan individu itu sendiri, malah memberi kesan tidak baik kepada negara.
Justeru, usaha membanterasnya sangat memerlukan sokongan masyarakat sekeliling walaupun terdapat agensi yang ditubuhkan untuk membanteras aktiviti tidak sihat itu.
Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat perlu sentiasa berganding bahu dan saling bekerjasama. Ia adalah perjuangan pelbagai pihak.
Usaha menangani penyalahgunaan dadah tidak harus diletakkan di bahu kerajaan semata-mata. Masyarakat perlu mengelak daripada bersikap not me syndrome. Jadilah frontliner yang menangani isu dadah dalam komuniti masing-masing.
Pada masa yang sama, masyarakat juga tidak harus mengambil sikap terus menghukum atau membiarkan mana-mana penagih atau bekas penagih.
Bantulah memulihkan golongan penagih untuk kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan normal.
Kebanyakan penagih dadah mahupun bekas penagih cenderung kembali menagih kerana sikap masyarakat itu sendiri yang meminggirkan golongan berkenaan untuk mendapat tempat dalam kelompok sosial.
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melaporkan seramai 5,877 penagih yang selesai menjalani rawatan di bawah agensi itu dikesan kembali menagih tahun lalu.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, jumlah itu diperoleh daripada keseluruhan 15,000 penagih yang selesai menjalani proses merawat pulih masalah penagihan.
Menurut Hamzah, tahun lalu penagih di AADK dalam komuniti adalah seramai 73,113 orang dan penagih dalam institusi pula seramai 7,133 orang. Kadar pemulihan penagih di AADK pula sekitar 65 peratus.
Jelas beliau lagi, beberapa faktor telah dikenal pasti menjadi penyebab penagih dadah kembali menagih termasuk kurang mendapat perhatian dan sokongan keluarga, pandangan serong masyarakat kepada bekas penagih, sikap individu itu sendiri dan pengaruh kawan-kawan.
Jadi, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap individu yang terlibat dengan masalah dadah mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan dan pemulihan terbaik yang bersesuaian dengan keperluan dan keadaan semasa.
Persepsi masyarakat terhadap penagih atau bekas penagih juga perlu diubah kerana mereka adalah ‘pesakit’ yang perlu diberikan rawatan.
Ya, mereka pernah melakukan kesilapan tetapi bantulah golongan berkenaan agar mereka dapat dibimbing, seterusnya mampu memperbaiki cara hidup.
Selain itu, peranan keluarga juga penting. Ibu bapa adalah insan yang bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak agar tidak terjebak dengan najis dadah.
Kini, kerajaan dilihat telah bertindak secara sistematik dalam usaha memulihkan golongan penagih dadah. Pelbagai kempen penyalahgunaan dadah perlu sentiasa diteruskan dan disebar luas agar dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.
Ia juga untuk mendidik masyarakat agar mempunyai sifat peduli tentang isu-isu berkaitan dadah dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Usaha yang murni ini wajar dipuji meskipun sudah banyak wang dibelanjakan, namun atas dasar rasa tanggungjawab dan amanah yang dipikul untuk memastikan rakyat sejahtera dan bebas dadah, maka berikanlah sokongan.
Marilah kita bersama membantu mengembalikan kehidupan penagih dadah kepada landasan yang betul, beri peluang mereka memperbaiki diri, sekali gus dapat menyumbang dalam perancangan dan pembangunan negara yang tercinta ini.
* Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian