Ibu tunggal 'dipukau', lesap barang kemas RM11,000

Iklan
Kejadian itu turut tular di laman sosial selepas gambar mangsa yang dikatakan dipukau tersebut dikongsi para netizen.

KOTA BHARU – Seorang ibu tunggal kerugian barangan kemas bernilai RM11,000 selepas dipercayai 'dipukau' seorang wanita yang dalam kejadian di tempat letak kereta di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.

Iklan
Iklan

Kamsiah Mohamed Noor, 48, berkata, dia sebelum itu berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana menjaga abang kandung yang sakit dan sedang dirawat di Unit Penjagaan Koronari (CCU) pada jam 11 pagi.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, suspek yang tidak dikenali itu tiba-tiba datang mendekatinya sambil memperkenalkan diri sebagai doktor pakar yang bertugas di hospital berkenaan.

Iklan

"Wanita itu menawarkan saya pertolongan untuk membantu membuat permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum mengajak saya ke HRPZ II untuk melakukan urusan permohonan bantuan itu.

"Tanpa sedar saya mengikutnya dengan menaiki kereta jenis Honda HD berwarna merah dan dia membawa saya sehingga ke tempat letak kereta di HRPZ II,” katanya ketika dihubungi pemberita, tadi.

Iklan

Menurutnya, ketika di tempat letak kereta itu, suspek mengarahkan mangsa supaya menanggalkan kesemua barangan kemas dan memasukkan ke dalam beg tangan mangsa.

"Dia kata hendak ajak saya isi borang bantuan JKM tersebut dan menyuruh saya meletakkan beg tangan yang mengandungi barang kemas, wang tunai RM150 berserta buku bank itu ke dalam but keretanya.

"Saya tidak sedar pada masa itu, hanya ikut semua arahan suspek dan selepas itu, tahu-tahu saya sudah ditinggalkan di kawasan tempat letak hospital itu sebelum dibantu orang ramai sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu,” katanya.

Kamsiah yang berasal dari Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh ditemui orang awam di Pusat Perkhidmatan Pelanggan Astro di Jalan Dusun Muda, di sini sebelum dibantu membuat laporan polis.

Kejadian itu turut tular di laman sosial selepas gambar mangsa yang dikatakan dipukau tersebut dikongsi para netizen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.