TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat bahawa kini bukan masanya untuk negara berbelah pendirian semasa dunia sedang berdepan pelbagai ancaman antaranya perubahan iklim.
Menurut Ismail Sabri, sebaliknya komitmen dan kerjasama serantau serta antarabangsa amat diperlukan dalam usaha menangani masalah tersebut.
Iklan
Iklan
"Suasana yang melanda dunia tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Seusai sahaja dibadai gelombang ganas pandemik, ia berdepan pula dengan konflik politik sejagat yang menyaksikan berlakunya peningkatan mendadak harga makanan dan komoditi akibat terjejasnya rantaian bekalan makanan dunia.
"Kebanyakan negara sejagat berada dalam tempoh paling mencabar dan tidak menentu dalam sejarah baharu tamadun dunia. Perbezaan yang sudah lama berlaku dan semakin mendalam, kini menjadi parah pula,” kata beliau dalam ucaptamanya di persidangan antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di Jepun dengan tema ‘Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian’.
Ismail Sabri berkata, kemelut yang melanda dunia membawa hikmah untuk sama-sama belajar daripada pengalaman, mencari penyelesaian yang tuntas agar terus maju ke hadapan.
"Suka saya berkongsi, di Malaysia, kami mempunyai peribahasa yang mengatakan ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’ mencerminkan betapa pentingnya kita mewujudkan komitmen yang teguh terhadap kerjasama serantau dan antarabangsa.
Tambah Perdana Menteri, sebarang penyelesaian yang dicapai tidak seharusnya hanya menguntungkan satu pihak semata-mata tetapi melibatkan semua.