TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis mengusulkan kepada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia di sini, tiga perkara utama untuk membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian.
Berkongsi pandangannya pada persidangan yang juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei itu, Ismail Sabri berkata, perkara itu adalah Memperkasakan Integrasi Ekonomi Serantau, Mengukuhkan Kerjasama dan Mekanisme Perundingan serta Bermuafakat dalam Menangani Cabaran Perubahan Iklim.
Jelasnya, ia antara perkara yang boleh diberikan perhatian dalam menawarkan penyelesaian isu sejagat dan pada masa sama meningkatkan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan negara di Asia.
"Perkara utama dalam memperkasakan integrasi ekonomi serantau adalah menumpukan kepada usaha mengukuhkan kemampuan rantau Asia dalam menangani perubahan dalam globalisasi selepas pasca pandemik.
"Ketika globalisasi kini dalam kemerosotan, saya berpendapat penting sekali bagi para pembuat dasar dan juga pemimpin perniagaan di Asia meningkatkan lagi usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Sehubungan itu, usaha perlu dilakukan untuk menjadikan rantaian bekalan serantau lebih berdaya tahan menerusi sokongan pelaburan infrastruktur digital dan memudah cara usaha untuk membangunkan kapasiti ke arah meningkatkan rantaian bekalan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada persidangan antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di Jepun dengan tema ‘Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian’.
Tambah Ismail Sabri lagi, para pembuat dasar di Asia seharusnya menggandakan usaha bagi meningkatkan kemampuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan dan pembangunan ekonomi rantau ini.
"Transformasi digital secara besar-besaran dan menyeluruh melibatkan PMKS membolehkan mereka menyertai aktiviti e-perniagaan rentas sempadan secara lebih aktif. Pandemik telah menyedarkan usahawan supaya menerima pakai penyelesaian digital dan teknologi dalam usaha kekal relevan.
"Prospek pertumbuhan ini memberikan peluang besar kepada PMKS untuk mendapat akses kepada pasaran baharu dan mengeksploitasi pelbagai cara baharu bagi memastikan produk mereka terus berdaya saing dalam pasaran,” ujarnya.
Bagi menjayakannya, Ismail Sabri berkata, pembuat dasar sama ada dalam sektor swasta atau awam perlu bekerjasama membina jaringan logistik yang mantap dan membina infrastruktur pasaran digital berkaitan kewangan dalam rantaian bekalan.
"Pembuat dasar juga perlu mempromosikan pembangunan teknologi digital inovatif yang dapat memberi kelebihan kepada PMKS dalam meningkatkan penyertaan mereka melalui aktiviti e-perdagangan rentas sempadan,” katanya.