Asia perlu kukuh kerjasama, mekanisme perundingan

Iklan
Ismail Sabri (dua dari kanan) bersalaman bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika hadir pada Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di sini pada Khamis.

TOKYO - Asia perlu memainkan peranan dalam menerajui dunia untuk mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu antara tiga yang disenaraikannya bagi mengukuhkan kedudukan Asia selain memperkasakan integrasi ekonomi serantau dan bermuafakat dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Iklan
Iklan

"Di tengah-tengah perbezaan yang berlaku di dunia ini, saya berpendapat adalah sangat penting rantau ini menjadikan kerjasama dan perundingan serantau sebagai nilai serta prinsip asas mereka.

"Berlakunya pandemik di seluruh dunia mengingatkan kita bagaimana institusi negara dan serantau begitu juga struktur serta rekaannya yang disangkakan kuat dan kental sebenarnya adalah rapuh jika prinsip, nilai gagal dipatuhi,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada persidangan antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di Jepun dengan tema ‘Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian’.

Tambah Ismail Sabri, perundingan adalah penting sama ada di peringkat Asia Tenggara mahupun Malaysia bagi mencari penyelesaian kepada cabaran bersama atau pertikaian.

Iklan

"Ini dilakukan melalui mekanisme ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN, mesyuarat ASEAN Plus three, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Plus,” ujarnya.

Jelasnya, platform-platform yang kekal aktif tersebut membuktikan konsep musyawarah boleh dilakukan antara pemimpin dan pemegang taruh bagi keselamatan serta keamanan serantau.

"Pertikaian diredakan secara diplomasi, pragmatisme dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa yang menjadi pegangan negara-negara anggota ASEAN. ASEAN kekal komited dengan peranannya yang inklusif terutama ketika persaingan dan perbezaan pendapat semakin meningkat.

"Melalui ASEAN, negara-negara anggota mengadakan dialog yang membina, menggalakkan penyelesaian secara damai bagi setiap pertikaian dan memperkukuh kerjasama bagi menangani cabaran global bersama dengan berteraskan kepada kepaksikan kepada ASEAN,” katanya.

Melihat di luar daripada ruang lingkup ASEAN, Ismail Sabri berkata, ia perlu juga memberikan perhatian dan sumber lebih besar dalam proses Kerjasama Ekonomi seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

"APEC merupakan forum perdana bagi integrasi ekonomi serantau yang membentuk kesatuan yang mampu memacu potensi globalisasi negara anggotanya.

"Terdapat tiga pemacu ekonomi yang dikenali pasti dalam Wawasan APEC 2040 atau lebih tepat dikenali sebagai Wawasan Putrajaya 2040 telah membolehkan rantau Asia Pasifik menjadi lebih kukuh dalam norma baharu pasca pandemik iaitu perdagangan dan pelaburan; ​inovasi dan digitalisasi serta pertumbuhan ekonomi yang kuat, seimbang, selamat, mampan dan inklusif.

"Dengan meneruskan kerjasama yang disandarkan kepada tiga pemacu ekonomi ini, pastinya kita boleh merealisasikan masyarakat Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040,” jelasnya.

Menurut beliau, bagi usaha memperkasakan peranan Asia melalui mekanisme kerjasama serantau, perlu juga berhati-hati dalam tindak balas terhadap isu-isu sedia ada dan juga yang baru muncul.

Ujarnya, tidak perlu untuk mengadakan rangka kerja baharu sebaliknya platform sedia ada boleh digunakan untuk tujuan tersebut.

"Di peringkat sejagat, Asia harus percaya dan berpegang teguh kepada proses yang terbina sejak berdekad lamanya dan menggunakan kaedah yang terbukti berkesan selama ini untuk menyelesaikan isu-isu semasa,” tambahnya.