MASA depan pemain sayap Liverpool Sadio Mane di Anfield pada musim depan menjadi tanda tanya selepas pemain kelahiran itu Senegal terus membisu mengenai masa depannya bersama The Reds.
Menurut Mane, keputusan sama ada dia kekal bermain bersama Liverpool pada musim depan hanya akan diketahui selepas perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Real Madrid pada awal pagi Sabtu.
"Sudah tentu ia sesuatu yang istimewa sekiranya berjaya memenanginya sekaligus menjadikan ia (Kejuaraan UCL) ketujuh buat kelab.
"Untuk soalan ini (masa depan saya) akan saya jawab selepas Liga Juara-Juara,” katanya.
Dalam pada itu, rakan sepasukan Mane, Mohamed Salah menyatakan pendiriannya untuk kekal di Anfield pada musim depan meskipun rundingan kontraknya bersama Liverpool masih belum selesai.
Menurut Salah, dia menyifatkan sekarang bukanlah masa yang terbaik untuk berbicara mengenai kontraknya bersama Liverpool dan mahu memberi tumpuan penuh pada perlawanan akhir UCL.
"Dalam fikiran saya ketika ini adalah untuk memberi tumpuan penuh kepada perlawanan akhir dan bukannya soal kontrak. Ini adalah minggu penting buat kami dan saya mahu menang Liga Juara-Juara Eropah sekali lagi," katanya.
"Sudah tentu, saya akan kekal pada musim depan. Saya mahu melihat see Hendo (Jordan Henderson) menjulang trofi lagi dan berharap ia menyerahkannya kepada saya,” kata pemenang kasut emas Liga Perdana Inggeris itu.