TOKYO - Malaysia menjangkakan eksport lapan jenis barangan ke pasaran Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan diratifikasi pada hujung tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, barangan tersebut adalah elektrikal dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan, kimia, plastik, peralatan optikal dan saintifik, alatan perubatan, alat-alat ganti dan komponen automotif serta minuman dan makanan yang telah diproses.
"Ia mampu mengukuhkan keyakinan pelabur-pelabur dan menggalakkan lebih banyak pelaburan asing bukan sahaja dalam anggota tetapi juga negara bukan CPTPP.
"Ini kerana mereka mahu memanfaatkan konsesi tarif yang ditawarkan melalui perjanjian ini,” katanya semasa sesi soal jawab dalam persidangan antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di Jepun pada Khamis.
Beliau berkata, melalui perjanjian CPTPP, syarikat-syarikat Malaysia dan negara-negara anggota akan dapat mengakses pasaran yang lebih luas iaitu satu per tiga daripada populasi dunia.
"Saya yakin dengan pelaksanaan CPTPP kelak, dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah dikuatkuasakan oleh Malaysia mulai 18 Mac 2022 akan membuka ruang yang akhirnya merealisasikan inisiatif Lingkungan Perjanjian Bebas bagi Asia Pasifik (FTAAP),” ujarnya.
Menjawab persoalan berkenaan bagaimana Malaysia mengambil kesempatan daripada perjanjian atau inisiatif perdagangan pelbagai hala, Ismail Sabri berkata, Malaysia telah menyokong idea keterangkuman melalui integrasi ekonomi serantau dengan menandatangani perjanjian dua hala serta sehala dengan pelbagai pihak sejak sekian lama.
Jelasnya, sebagai sebuah negara yang mempunyai kelebihan dari segi sumber dan juga bakat, peluang sentiasa diambil untuk memperluaskan liberalisasi perdagangan dan pelaburan sebagai agenda utama Malaysia.
"Malaysia adalah negara anggota Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), RCEP dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).
"Setiap platform yang dinyatakan mempunyai kelebihan tersendiri yang memberikan manfaat kepada Malaysia dengan saling melengkapi. Ia akhirnya menyumbang kepada integrasi ekonomi serantau.
"Manfaat daripada setiap perjanjian adalah berbeza bagi sektor-sektor yang berlainan,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi RCEP, penghapusan dan pengurangan tarif bagi eksport dan import barangan antara negara-negara memudahkan lagi aliran perdagangan untuk produk serta perkhidmatan dalam kalangan ahli.
"Ianya juga akan turut meningkatkan lagi aktiviti perdagangan dan pelaburan inter dan intra serantau, seterusnya mengukuhkan rantaian-rantaian nilai serantau,” katanya.
Antara sektor-sektor yang dijangka akan memperoleh manfaat daripada perjanjian RCEP adalah perkhidmatan telekomunikasi, kewangan dan komoditi antaranya produk-produk berasaskan kelapa sawit, getah, kayu dan produk kayu seperti perabot.
Sementara itu, tambah beliau, IPEF pula merupakan satu platform untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara di Indo-Pasifik dan rantau ASEAN.
Jelasnya, ia selari dengan fokus Malaysia iaitu tertumpu kepada usaha untuk memacu perkembangan industri yang strategik dan berimpak tinggi, ketahanan rantaian bekalan, standard ekonomi digital serta teknologi.
"IPEF menyediakan struktur kerjasama yang holistik bagi menyelesaikan isu-isu perdagangan dengan negara-negara rakan.
"Meskipun melalui platform yang berbeza, Malaysia bersedia untuk membincangkan isu-isu berkaitan melalui IPEF bagi memastikan rakan-rakan IPEF dapat mengoptimumkan manfaat ekonomi dan strategik seperti yang digariskan dalam kerangka ini,” ujarnya.
Dengan penekanan terhadap penyelesaian kepada isu-isu berkaitan perdagangan dan pelaburan, Ismail Sabri menjangkakan bahawa sektor-sektor perubatan, elektrikal dan elektronik serta ekonomi digital akan mendapat manfaat melalui inisiatif atau perjanjian tersebut.