KANGAR - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Nottingham Trent Universiti (NTU) dan University of Surrey (UoS) dalam mengukuhkan perkongsian dan kerjasama strategik menerusi bidang pendidikan tinggi.
UniMAP menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis menyebut majlis menandatangani MoU yang berlangsung di London semalam itu disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Noraini berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan pertukaran kepakaran dalam meningkatkan latihan dan pembangunan kepada pelajar serta kakitangan dalam bidang pendidikan tinggi di negara ini.
"Saya berharap agar UniMAP dapat memanfaatkan kepakaran dan pengalaman kedua-dua universiti tersebut dan bekerjasama lebih erat ke arah pengantarabangsaan pengajian tinggi negara," katanya.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli bersama Associate Dean-Resource and Planning Social Sciences International Partnership of NTU Dr Gareth Williams dan Naib Canselor Uos Profesor Dr Max Lu.
Sementara itu, Zaliman berkata, pihaknya berharap agar kerjasama erat dengan NTU dapat membangunkan kerja penyelidikan dan perundingan berkualiti khususnya dalam bidang biosains, kimia, pengkomputeran dan teknologi serta kejuruteraan.
"Ia juga akan diperluaskan untuk menghasilkan jawatan pelajar siswazah, penerbitan buku, perjanjian pelesenan, pendaftaran hak harta intelek dan pengetahuan baharu yang akan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan," katanya.
Zaliman yang juga alumni UoS menyifatkan MoU berkenaan bakal menyemarakkan lagi hubungan kerjasama berterusan dalam pelbagai bidang terutamanya penyelidikan nano teknologi.
Beliau berharap program dan aktiviti yang dijalankan bersama UoS selepas ini juga akan dapat menyediakan pelajar dan kakitangan dengan pengetahuan, kemahiran dan sahsiah yang mencukupi untuk terus kekal relevan.
"Saya teruja untuk melihat hasil kerjasama ini dan bagaimana ia akan membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa akan datang," katanya. - Bernama