KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menambah anggota dan aset Pasukan Gerakan Udara (PGU) untuk mempertingkat kawalan sempadan susulan kejadian tembakan dan letupan bom berlaku di Tak Bai, wilayah Narathiwat, Thailand yang bersempadan di daerah Tumpat, Kelantan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, aset ini meliputi pemantauan helikopter dan dron.
"Kita (PDRM) dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi apa sahaja kemungkinan.
"Selain kawalan sempadan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), PDRM telah menambah anggota dan aset PGU melibatkan pemantauan helikopter dan dron," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambahnya, penduduk di kawasan berhampiran dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mengesan sesuatu yang mencurigai.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.40 malam (waktu Malaysia) pada Rabu, tular beberapa rakaman video di media sosial menunjukkan situasi huru-hara dan tegang di wilayah Narathiwat tersebut.
Kesemua mereka yang juga merupakan anggota sukarelawan pertahanan di pos tersebut cedera akibat terkena serpihan letupan bom.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Tak Bai sebelum dipindahkan ke Hospital Narathiwat.
Lapor Bangkok Post, kejadian berlaku selepas enam penyerang tidak dikenali melemparkan bom dan melepaskan tembakan di stesen tersebut.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mengesahkan kejadian berlaku di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Tumpat.