SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas satu pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang warga emas, Ahad lalu.
Muhammad Zulkifli Che Su, 24, yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat automatif membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Zainol Din Hussein, 61, di Jalan Padang Jawa di sini, pada jam 12 tengah hari, 22 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa.
Bagaimanapun peguam, Abi Mursyidin Awal yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan ikat jamin pada kadar rendah.
"Dia hanya bekerja sebagai mekanik dan perlu menanggung ibu bapanya di kampung.
"Mangsa yang terlibat dalam kes ini, merupakan seorang yang berpengaruh di kawasan kejiranan, maka mustahil untuk kembali ke tempat itu serta bukan sesuatu yang mudah untuk mendekati mangsa," katanya.
Ekoran penularan video kes itu, Abi Mursyidin berkata, anak guamnya dibelasah oleh sekumpulan lelaki.
Ahad lalu, tular video di laman sosial, memaparkan seorang lelaki warga emas dipukul seorang penunggang motosikal dipercayai berlaku di Padang Jawa, di sini.
Tindakan penunggang motosikal tersebut kemudiannya berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
Aksinya menerima kecaman daripada netizen yang rata-ratanya menyifatkan tindakan itu keterlaluan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Muhammad Syafiq membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.