NUBE teruskan bantahan di Perak

Iklan
Anggota NUBE meneruskan bantahan dengan berkumpul di hadapan HSBC Bank cawangan Ipoh di Jalan Sultan Yusof, Ipoh pada Khamis.

IPOH - Seramai 500 anggota Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) meneruskan bantahan dengan berkumpul di hadapan HSBC Bank cawangan Ipoh di Jalan Sultan Yusof di sini bagi membantah beberapa tindakan bank itu yang didakwa tidak profesional dalam menyelesaikan aduan pekerja.

Mereka yang menyertai bantahan bermula jam 5 petang itu membawa sepanduk yang tertulis dengan kata-kata, 'HSBC Merompak Rezeki Pekerja', 'HSBC Diskriminasi Pekerja' serta 'HSBC Elak Dialog Sosial.

Iklan
Iklan

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, tindakan seumpama itu terpaksa diambil disebabkan pihak pengurusan bank berkenaan didakwa enggan menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan anggota kesatuan sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Dakwanya, sepanjang tempoh itu, HSBC Bank Malaysia enggan bertindak secara profesional memelihara perhubungan industri yang harmoni untuk mengadakan perbincangan selaras dengan Perjanjian Kolektif.

Iklan

"Keadaan ini menunjukkan bank itu tidak jujur dan ikhlas dalam menyelesaikan isu pekerja sebaliknya mahu melengah-lengahkan proses dialog sosial," dakwanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Beberapa anggota polis dilihat turut berkawal bagi memastikan penganjur tidak melanggar batas yang ditetapkan ketika berhimpun.

Iklan

Perak merupakan negeri ketiga mengadakan siri bantahan itu selepas Johor Bahru dan Pulau Pinang yang turut mengadakan bantahan berkenaan masing-masing pada 10 dan 26 Mac yang lalu.

Beliau berkata, NUBE akan terus mengadakan bantahan seperti itu sebagai jalan terakhir, selagi jalan penyelesaian yang dicari belum diperolehi.

"NUBE mengadakan bantahan ini kerana HSBC Bank enggan menghormati undang-undang buruh termasuk peruntukan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967," dakwanya.