SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti secepat mungkin.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama berkata, Ismail Sabri perlu menunaikan janji membahaskan RUU berkenaan memandangkan beliau telah beberapa kali memberikan komitmen mengenai perkara tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, selain RUU tersebut, sidang khas Parlimen itu juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi.
"Sidang khas itu juga harus membincangkan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik Covid-19 melanda, terpalit dengan rasuah.
"Justeru, Majlis Presiden menggesa Perdana Menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan,” menurut kenyataan tersebut pada Khamis.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Pada Khamis, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Zuraida dalam satu kenyataan pada Khamis bagaimanapun berkata, beliau akan kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selari dengan pendirian PBM.