KOTA KINABALU - Sabah mula menerima pelancong Korea Selatan menerusi penerbangan semula secara terus yang pertama dari Incheon (Seoul) ke Kota Kinabalu bermula Khamis.
Penerbangan pertama ini dijangka akan merancakkan semula industri pelancongan di Sabah selepas terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, Sabah merupakan negeri yang dilihat menjadi pilihan pelancong dari negara itu berdasarkan rekod yang dicatatkan pada 2019 menunjukkan bahawa separuh daripada ketibaan pelancong Korea Selatan telah ke Sabah.
"Pada 2019, kita mendapati lebih 600,000 orang Korea Selatan datang ke Malaysia dan daripada itu seramai 360,000 telah ke Sabah.
"Ini membuktikan bahawa Kota Kinabalu merupakan satu destinasi penting untuk warga Korea, maka kita rasa kita boleh pasarkan untuk mendapat lebih ramai pelancong dari negara itu dan dalam masa sama mempromosikan produk baharu yang kita ada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pelancong Korea Selatan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada malam Khamis.
Pesawat yang membawa 185 penumpang dari Incheon itu tiba di KKIA pada jam 10.15 malam dan turut disambut oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.
Dalam pada itu, Santhara berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus memberi kerjasama dengan kerajaan Sabah supaya negeri ini terus menjadi pilihan pelancong dari negara itu.
"Saya difahamkan pelancong akan bertambah dan kita sentiasa bekerjasama dengan Sabah, banyak rancangan kita akan lakukan contohnya pemasaran kita buat di Korea Selatan dan pada masa saya saya difahamkan pelbagai platform kebudayaan juga kita ingin anjurkan bersama untuk mempromosikan Sabah," katanya.